Total Pageviews

Monday, January 28, 2013

Nurul Refaya

Nurul Refaya bt Ayob Devan.   Seorang anak berumur 11 tahun yang sangat baik budi bahasanya.  Setiap kali terserempak dengannya pasti dia mengucapkan salam dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan kita.  Sebelum berlalu dia akan mengucapkan terima kasih dan memberi salam sekali lagi.  Tutur katanya penuh kelembutan.  Tingkahlakunya sentiasa menawan. Cuma dia agak ketinggalan dari segi pelajaran.  Pun begitu, setiap guru tidak jemu memberi didikan demi didikan.    Masih mama ingat lagi tahun lepas, Refaya menangis sedih kerana pemergian mama ke tanah suci.  Sehari sebelumnya, sempat dia menghadiahkan sehelai kain batik untuk mama.   Pernah juga bertemu dengan kedua ibubapanya.  Masyaallah, ibu dan bapanya juga begitu bersopan santun tatkala berbicara.   Bertuah Refaya mendapat didikan ibu dan ayah yang begitu.  Ibunya berasal dari India, 'pure' India Muslim tapi amat fasih berbahasa Melayu.  Bapanya India Malaysia, seorang mualaf.  Hanya bekerja sebagai pembuat roti canai di sebuah kedai makan di Melaka, manakala ibunya tidak bekerja.

Minggu pertama persekolahan 2013, mama panggil Refaya dan kawan-kawan perempuan kelasnya seramai lima orang.  Maklumlah kelas hujung, tak ramai murid perempuan.  Tahun ini mama tak mengajar di kelas mereka.  Mama hadiahkan mereka gelang dan cincin dari Mekah.  Gembira betul mereka, terutamanya Refaya.  Dia memeluk dan mencium mama selepas minta izin untuk berbuat demikian.  Kawan2 Refaya mulanya hanya memandang tetapi kemudian membuat perkara yg sama.  Betul, kadang2 Refaya mempengaruhi kawan2 dalam bab memberi salam ini.  Itu yang mama dapat lihat sisi positif dirinya.  Esoknya, dia memberitahu yang ibu dan bapanya berkirim salam.  Dia juga mengatakan yang ibunya sakit.  Ayahnya pula sedang bercuti kerana kecederaan kaki akibat kemalangan.  Kata Refaya, ibunya akan pulang ke India untuk berubat.  Mama tanya sakit apa, "migrain, mak saya sakit kepala teruk.  Sudah pergi hospital pun tak baik juga."

Dua hari kemudian Refaya  datang berjumpa mama.  "Teacher, tolong doakan mak saya."

"Kenapa mak Refaya?"

"Petang ni mak balik India.  Refaya tak ikut, Refaya tinggal sini dengan adik dan ayah."

Pagi Jumaat lepas, dia datang lagi bertemu mama.  "Teacher, hari ini Refaya last day sekolah sini.  Refaya nak pindah India."  Kemudian airmatanya mengalir.  Dia menangis teresak-esak.  Mama terkejut.  Serius beanrkah penyakit ibunya?  Sudah seminggu ibunya pulang ke India. 

"Refaya rindu mak ye?" dia mengangguk.  "Refaya tinggal dengan saya nak? Jadi anak saya..."  dia diam. "Saya sayang Refaya tau.." diam lagi.

"Boleh, tapi...."

"Oh, Refaya nak jaga mak ye?  Mak sakit kan? Tak apa, banyak pahala tau kalau Refaya jaga mak...tapi kalau Refaya rasa nak tinggal kat sini, Refaya boleh tinggal dengan saya." dia mengangguk.

Tengahari itu mama lihat ayah Refaya datang ke pejabat.  Kebetulan mama sedang berbincang dengan guru besar, jadi mama tak dapat bertemu ayah Refaya untuk bertanya hal anak2nya itu.   Selesai perbincangan, mama bergegas cuba mendapatkan ayah Refaya, tapi malangnya dia sudah berlalu.  Mengikut maklumat dari kerani sekolah, ayah Refaya telah menghantar borang pertukaran anak2nya ke India.  Bila ditanya, rupanya ibu Refaya mengidap tumor otak dan akan menjalani pembedahan beberapa hari lagi.  Anak2 tidak mengetahui penyakit ibu mereka.  Ayah Refaya kata, dia sebatang kara di Malaysia.  Dia sudah dibuang keluarga kerana memeluk Islam.  Sedangkan keluarga isterinya ramai, alim dan agak berada. Kalau mereka masih di sini, tiada sesiapa yang akan membantunya menjaga anak2 bila dia keluar bekerja.   Bapa mertuanya yang mendesak mereka berpindah ke India. Kos penerbangan semunya ditanggung oleh keluarga ibu Refaya.  Ayah Refaya akan kembali semula ke Malaysia selepas menghantar kedua-dua anaknya.  Sedih mama mendengarnya.

Tak lama kemudian, Refaya dan adiknya datang berjumpa kami.  Mereka bersalaman sambil menangis teresak-esak.  Refaya berjanji akan datang lagi hari ini [Isnin], kerana guru pra-sekolah iaitu guru kelas adiknya akan membuat jamuan utnuk mereka, tapi nampaknya penantian mama hampa.  Sebenarnya mama dah berniat untuk menghadiahkan Refaya dengan senaskah al-quran yang mama beli di Mekah, tapi tak kesampaian.  Mungkin Refaya sudah pun terbang ke India.  Semoga dia bahagia di sisi ibu dan saudara-maranya nanti.  Dia akan bersekolah agama di sana.  Dia akan memakai jubah hitam.  Doa mama agar ibunya cepat sembuh dan Refaya pula menjadi anak yang solehah.  Amin...Sejujurnya, mama amat sayangkan Refaya.  Sudah berpuluh tahun mama di arena perguruan, dan sudah beratus[ mungkin beribu] anak2 murid mama, tapi Refaya adalah murid yang istimewa di hati ini.
  
*mungkin beginilah penampilan Refaya bila dia dewasa nanti..




2 comments:

notie said...

Wah bagusnya didikan mak dan ayahnyakan, kita tenguk pun rasa sejuk je dalam hati melihat adap dan kesopanannya. Maklumlah budak sekarang ganas-ganas dan kurang ajar. Nak salahkan siapa ya, adakah mak dan ayah terlalu memanjakan mereka sehingga mereka jadi lemak berkrim dan cakap ikut sesedap rasa dia je. Kalau orang dulu2 huh ada yang kena cili mulut jika bercakap dan bersikap biadap terhadap orang lain. Budak sekarang huhuhuhu

mama aini said...

itu yg aku jatuh syg kat dia....adiknya si AKHBAR ALI pun sama walau baru 6 tahun.

macam mana agaknya diorang kat India tu....semoga mereka jadi orang yg berguna, yg soleh dan solehah