Total Pageviews

Saturday, January 5, 2013

Madinatul Hujjaj

JUMAAT 9 N0VEMBER 2012

Jam 7.30 pagi, ada taklimat tawaf wada' dan keberangkatan pulang.  Mama rasa berat hati sungguh untuk hadir ke taklimat itu.  Di awal taklimat lagi, kalau ustaz biasanya suka melawak, tidak lagi melawak dalam taklimat kali ini.  Sebaliknya beliau menasihatkan jemaah supaya jangan terlalu ghairah, excited, gembira untuk pulang ke tanahair.  Nada suara ustaz juga berbeza, nampak benar yang dia pun sedih meninggalkan kota ini.  Kata ustaz lagi, janganlah sampai kegembiraan untuk pulang itu mengatasi kesedihan untuk meninggalkan baitullah... yelah, bukan senang nak dapat peluang mengerjakan haji.  Umrah boleh buat berkali-kali jika ada rezeki.  Namun tak sama rasanya apabila kita melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Hati mama hiba sangat.  Rasa nak menitik air mata tapi mama masih boleh kawal lagi.  Selesai ustaz memberi taklimat tawaf wada', pegawai TH pula beri taklimat keberangkatan pulang.  Tengahari nanti kami akan diberi sticker mengandungi nama, nombor bas, nombor blok dan bilik untuk ditampal pada beg sandang dan bagasi.  Kami diminta menurunkan bagasi ke lobi hotel mulai jam 4 petang.   Lori akan mengangkut beg2 itu tepat jam 11 malam dan terus dihantar ke Madinatulhujaj, tempat kami akan ditempatkan sebelum ke lapangan terbang King Abdul Aziz.

Kami juga diminta melaksanakan tawaf wada' mulai jam 11 malam ini, dan bas akan bertolak pada jam dua pagi.  Hari ini semua orang sibuk.  Sibuk menimbang bagasi masing2 kerana bimbang berat melebihi 25 kg.  Kalau lebih, setiap satu kg akan dikenakan caj SR25.  Ada yang terlalu gembira, nampak tak sabar2 nak menurunkan bagasi. 

Jam 11 malam, kami bertawaf wada'....rasa sebak dan sedih tatkala membaca doa keliling kaabah.  Cuaca pun macam sepakat dengan kesedihan kami.  Hujan turun renyai2 ketika kami memulakan tawaf dan terus lebat ketika kami baru nak mula pusingan kedua.  Ketika ini, kami dan jemaah lain bergegas ke tingkat satu untuk meneruskan tawaf.   Dari tingkat atas, dapat kami lihat ramai lagi jemaah yang tidak berganjak, meneruskan tawaf dalam hujan.  Keliling kaabah mula digenangi air dan pekerja2 masjid riuh rendah, bekerjasama menyapu dan menolak air keluar.  Cekap sungguh mereka. 

Pekerja2 berbaju hijau mengeringkan air hujan

Orang2 tempatan seronok bermain hujan.  Kata mereka sudah hampir setahun hujan tidak turun. Hujan di sini lebat tetapi sekejap sahaja.  Alhamdulillah, mama dah merasa tiga kali hujan di Mekah.  Kanak2 paling seronok .  Mereka bermain air hujan walaupun kotor.  Riuh di luar dfan di jalanan dengan suara kanak2 yang riang bermain hujan.

Masuk pusingan ketiga, hujan berhenti.  Mama dan abang turun semula dan meneruskan tawaf pusingan seterusnya hingga tamat.  Pakaian kami basah tetapi kami puas kerana dapat mengerjakan tawaf di keliling kaabah.  Kawasan itu agak lapang sedikit kerana sebahagian jemaah telah ke tingkat atas tadi.  Kami ambil kesempatan untuk mendekati kaabah, mama harap benar dapat mencium hajarulaswad.  Malangnya kami tidak berjaya.  Abang menyabarkan mama dan meluahkan rasa bimbang untuk bertolakan dgn jemaah lain.  Akhirnya mama dapat menyentuh dinding kaabah sahaja.  Syukurlah, sekurang-kurangnya dua kali mama mendapat peluang itu sedangkan ribuan malah jutaan jemaah lain hanya mampu pandang sahaja.

Selesai solat sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim, abang berkata,"Kita kena datang lagi... mesti datang lagi..!!" Merah mata abang dan basah pula pipi mama, sayu meninggalkan baitullah.  Berat saja kaki kami melangkah keluar dari masjidilharam.  Setibanya di hotel jam 12.30 tengah malam.  Bas2 sudah menunggu.  Jemaah KT38 sudah berhimpun di lobi.  Mama dan abang naik ke bilik untuk mengambil barang2 dan menukar pakaian yang basah.

Cepat pula bas2 ini sampai.  Sedangkan jadual keberangkatan kami ke Madinatulhujaj adalah pada jam 2 pagi.  Alhamdulillah, Allah mudahkan, jadi bas2 itu cepat datang.  Kami tiba di Madinatulhujaj sebelum dua pagi. Madinatulhujaj merupakan bekas asrama polis.  Dulu asalnya ia adalah tempat latihan polis Arab Saudi.  Ia adalah dorm dengan katil dua tingkat , bukan hotel yang selesa tetapi Alhamdulillah semuanya mudah.   Madinatul Hujjaj letaknya di Jeddah.  Fungsinya menyamai Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Jika urusan pemergian jemaah Haji ke tanah suci dilakukan di Kelana Jaya. Begitu juga urusan keberangkatan pulang dilakukan di sini. Ia boleh memuatkan 1000 jemaah dalam satu masa.  Jemaah akan tidur, mandi, bersolat Jamak, berehat, makan minum, urusan Timbang Bagasi dan mendapatkan Kupon Boarding di sini sebelum dibawa menuju ke airport Jeddah. Di sini juga ada disediakan gerai menjual makanan dan juga pakaian. Macam2 ada, sup unta, susu unta, kurma dan buah delima.  Nak pekena roti canai pun ada.

Pagi itu angin kuat beserta pasir2 halus.  Bila keadaan mulai reda, barulah mama keluar dengan mak dan Kak Piah.  Mama makan roti canai, Kak Piah dan mak pekena mee hoon sup.  Rasa teragak nak makan sup unta, tapi bila seorang kakak tu kata, tak sedap, mama pun tak cuba... Ha, sekarang baru menyesal, sepatutnya mama cuba juga.  Sekurang-kurang bolehlah bercerita kat anak2 rasa sup unta tu.   Te\ngahari, abang belanja makan cendol, boleh tahan juga rasanya.

  Tak jauh dari pokok besar tu ada gerai makanan dan pakaian.
Madinatulhujaj, asrama tempat jemaah haji menginap/transit sebelum pulang ke tanah air.

Subhanallah sekali lagi, bas mama tiba lebih awal daripada bas2 lain.  Mama pilih katil tepi tingkap dan terus 'landing time'....sehingga sedar dari tidur sebelum Subuh. 

Klinik pun ada

Lepak di luar asrama , berhadapan gerai makanan
Bagasi disusun ikut nombor bas.
Timbang bagasi di Madinatuhujjaj, Jeddah


Semuanya mudah di sini, Alhamdulillah.  Petang itu ada satu kejadian yang sampai sekarang masih segar diingatan.  Esok saja mama ceritakan, Insyaallah.  

2 comments:

notie said...

Alhamdulillah, satu pengalaman yang begitu indah dan kiranya ko insan terpilih yang mendapat jemputan Allah. Semuga segala amal ibadah diterima Allah hendakNya. Amin

Mudah-mudahan Allah mengurniakan aku rezeki dan memberi aku peluang menjejaki Rumah Nya dan di beri peluang menunaikan Ibadah rukun Islam ke 5 itu. Amin dan InsyaAllah mudahan Allah memakbulkan doaku ini. Amin

mama aini said...

aminnnn..alhamdulillah, moga ALLAH mudahkan kau serta mendengar permintaan kau tu...