Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya serta tempatnya bersembahyang suci daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan itu, maka hendaklah ianya dibersihkan terlebih dahulu sehingga tempat yang terkena najis itu menjadi suci. Salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan!” (Surah al-Muddatstsir: 4)
Syarat suci daripada najis ketika di dalam sembahyang adalah juga berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Jika
datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh
itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits
riwayat al-Bukhari)
Daripada
ayat dan hadits di atas, jelas bahawa tidak sah sembahyang seseorang yang
terdapat najis pada tubuh badan, pakaian atau tempatnya bersembahyang. Namun
jika sekiranya najis itu merupakan najis yang dimaafkan, maka sembahyangnya
adalah sah walaupun dia tidak menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang
terkena najis itu terlebih dahulu.
Untuk
memudahkan seseorang itu melaksanakan ibadatnya, adalah perlu dia mengetahui
apakah perkara yang dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.
Apakah
Dia Najis Yang Dimaafkan itu?
Menurut
para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal
pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk
dielakkan daripadanya.
Berikut
adalah sebahagian contoh najis-najis yang dimaafkan:
1. Najis
yang tidak nampak pada pandangan mata kasar, walaupun ia daripada najis
mughallazhah. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang
terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang
tidak nampak oleh pandangan mata kasar.
2. Najis
yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu
juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada
badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan
perbuatannya sendiri.
Jika
darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya
membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat
sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai
najis yang dimaafkan.
Darah
atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat,
iaitu:-
- Darah atau nanah tersebut
merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri
- Darah atau nanah itu keluar
bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.
- Darah atau nanah yang keluar
itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak
mengalir daripada lukanya.
3. Darah
ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat
bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari
najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari
keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya
sedikit.
Menurut
Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah
daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai
darah ajnabi.
4. Darah
yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari
bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, selain dari
jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.
Jika
darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus
menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan
berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah
ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah
tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya
dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.
5. Darah
yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari perbuatan
mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih
tinggal di tempat lukanya.
6. Darah
yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah sendiri. Sah sembahyang
bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia
tidak menelan air ludahnya ketika di dalam sembahyang.
7.
Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang
diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu
dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan
tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan
tersebut.
Perhatian:
Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu
ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat
kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah
sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan
sedikit dan dimaafkan.
Sesungguhnya
Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan. Kerana itu umat Islam
diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis sehinggakan suci daripada
najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat dijadikan sebagai salah satu syarat
sah sembahyang. Walau bagaimanapun Islam juga adalah agama yang tidak
membebankan umatnya dengan kesukaran. Contohnya pengecualian terhadap najis
yang dimaafkan yang tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran
menghilangkannya atau mengelak dari terkena najis tersebut.
No comments:
Post a Comment